Sekolah Kebangsaan Mergong terletak lebih kurang 5 km dari pusat Bandar Alor Setar. Sekolah ini mula ditubuhkan pada 6 Januari 1957 dikenali sebagai Sekolah Umum Mergong. Sekolah sementara ini menggunakan bangsal mengundi pilihanraya pertama yang diadakan pada tahun 1957 bertempat di Masjid Kampung Mergong.

Seramai 80 orang murid diterima masuk belajar di sekolah ini. Pada ketika itu tenaga pengajar terdiri daripada 2 orang guru. Penubuhan sekolah ini adalah atas daya usaha Tn Hj Puteh bin Arshad, Penghulu Mukim Mergong.

Guru Besar yang pertama sekolah ini ialah En Osman bin Yunus. Pada tahun 1958 murid baru diterima belajar bagi darjah 1 dan persekolahan sesi petang terpaksa diadakan akibat pertambahan murid.

Pada 3 Januari 1960 murid-murid Sekolah Umum Mergong dipindahkan ke sekolah baru iaitu Sekolah Kebangsaan Mergong.

Sekolah Kebangsaan Mergong ini dibuka dengan rasminya pada 17 Januari 1960. Bangunan yang baru dibina ini terdiri daripada 6 kelas. Pada tahun tersebut seramai 320 orang diterima belajar di sini dengan dibantu oleh 9 orang tenaga pengajar. Dari tahun ke tahun bilangan murid sekolah ini semakin bertambah.

Untuk menampung pertambahan murid, bangunan baru telah dibina. Pada tahun 1965 banguna B telah dibina manakala bangunan C dibina pada tahun1983.

Pada tahun 1989 Sekolah Menengah Mergong telah ditubuhkan dengan menumpang bangunan sekolah ini. Pada tahun 1995 dua buah lagi bangunan baru dibina untuk menampung pertambahan murid sekolah kebangsaan dan sekolah menengah. Sehingga tahun 1996 tiga buah bangunan sekolah ini telah digunakan olah Sekolah Menengah Mergong.

Sesi persekolahan 1980 an hingga 1990 an didapati murid sekolah ini semakin bertambah. Ini menyebabkab persekolahan terpaksa dijalankan dalam dua sesi. Bilangan tenaga pengajar juga turut bertambah.

Dalam keadaan serba kekurangan inilah, Sekolah Kebangsaan Mergong semakin menunjukkan prestasi cemerlang dalam bidang Kurikulum dan Kokurikulum sekolah.

Apabila Sekolah Kebangsaan Mergong II (Seri Perdana) siap dibina, sebanyak 800 orang murid dan 18 orang guru dari Sekolah Kebangsaan Mergong dipindahkan ke sana. Sekolah Kebangsaan Mergong mengadakan persekolahan dua sesi sehingga April tahun 2002. Apabial bangunan baru (3 tingkat) siap dibina pada tahun 2002 persekolahan satu sesi diadakan sehingga sekarang.

Bagi meningkatkan kemahiran ICT kepada murid-murid sebuah bangunan makmal komputer dibina terdiri daripada dua buah bilik makmla yang dilengkapi dengan 40 buah komputer.

Pada akhir 2004 bangunan prasekolah siap dibina dan mula beroperasi pada Januari 2005 dengan bilan murid seramai 25 orang, seorang guru dan seorang pembantu. Pada akhir 2005, sebuah lagi kelas untuk prasekolah telah dibina dan pada Januari 2006 kelas prasekolah bertambah menjadi 2 kelas dengan 44 orang murid, 2 orang guru dan 2 orang pembantu pengurusan murid.

Surau Sekolah Kebangsaan Mergong siap dan dapat digunakan pada tahun 2005 yang dapat memuatkan 50 orang pada satu masa.

Untuk menjaga keselamatan sekolah ini, perkhidmatan pengawal keselamatan disediakan 24 jam terdiri daripada 2 orang pada waktu malam dan seorang pada waktu siang.

Dari semasa ke semasa prestasi Sekolah Kebangsaan Mergong semakin meningkat walaupun pada tahun 2006 prestasi sekolah sedikit menurun dan bilangan murid semakin bertambah. Sehingga kini, 2011, bilangan murid adalah seramai 1380 orang dan bilangan guru adalah seramai 77 orang serta 11 orang kakitangan sokongan.

 

JSN Mico is designed by JoomlaShine.com